Sabtu, 20 Mac 2010

Topik: Memahami Prinsip dan Rukun Negara Malaysia 2


Penjelasan Prinsip Rukun Negara

(a) Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

(b) Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan
dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negerinegeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di- Pertuan Agong.

(c) Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.
Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.

Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.

(d) Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Unang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan.

Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

(e) Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Kepentingan Rukun Negara untuk menghasilkan individu dan masyarakat yang dihasratkan oleh objektif dan matlamat ideologi itu dalam konteks hubungan etnik di Malaysia Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu perpaduan negara adalah merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara rusuhan,pergaduhan kaun dan sebagainya.

Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasanan politik yang stabil. Kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keharmonian masyarakat Malaysia yang sejahtera, bersatu padu, bermaruah dan berwawasan akan terhasil dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Rukun Negara harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat: warganegara Malaysia. Rukun Negara adalah satu nilai yang perlu dicapai. Rukun Negara adalah amalan yang perlu dilakukan. Rukun Negara adalah satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaya atau Malaysia semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak mempunyai semangat patriotik kepada Malaysia. Rukun Negara juga tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak mengetahui asal usul dan sejarah Malaysia, iaitu negaranya sendiri. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu tidak dapat berfikir dengan rasional dan secara ilmiah.

Kita sebagai warganegara Malaysia harus menyokong dan melibatkan diri dalam setiap program, dasar dan rancangan kerajaan yang bertujuan untuk membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.

Negara yang aman haruslah dipelihara. Pemeliharaan keamanan adalah tugas dan tanggungjawab semua warganegara. Kita harus hidup secara aman dan harmoni. Kita jangan melakukan kegiatan yang boleh mencetus salah faham antara kaum. Kita perlu patuhi undang-undang sepanjang masa.

Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi sekarang adalah hasil daripada komitmen, kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO).

Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati ini tidak mampu bertahan sekiranya rakyat tidak bersatu dan tidak memberi kerjasama kepada kerajaan.

Kita harus menyokong dan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh memupuk perpaduan. Kita jangan menyentuh kegiatan yang boleh menyinggung perasaan kaum lain. Tindakan ini boleh mengancam keamanan negara. Perpaduan kaum yang erat membolehkan negara kita menghadapi dan menangani sebarang cabaran masa depan. Rakyat yang bersatu padu dan negara yang aman akan dihormati dan dikagumi oleh negara luar. Semangat kerjasama semua pihak penting sebagai benteng untuk menghadapi segala bentuk cabaran yang boleh mengancam kemakmuran, keamanan, kesejahteraan masyarakat dan negara kita.

Kesimpulan

Rukun Negara dicipta ekoran daripada rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ni telah menyebabkan semua rakyat Malaysia mengetahui betapa pentingnya bersatu-padu dan hidup dengan aman dan damai serta dapat menghindari sifat curigamencurigai antara satu sama lain. Perpaduan kaum pula adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia. Ia penting kerana tanpa perpaduan, sesebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri.

Oleh itu kewujudan rukun negara ini menjadi satu titik permulaan ke arah pencapaian perpaduan dalam kalangan semua etnik di Malaysia. Apabila rakyat Malaysia menghayati maksud Rukun Negara dengan sepenuhnya, maka ia akan memudahkan proses pentadbiran negara kerana rakyat mula sedar tentang konsep hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, latar belakang dan budaya sesuatu masyarakat. Sehubungan dengan itu matlamat Rukun Negara dapat dicapai dengan mudah tanpa prejudis.

Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia. Ia penting kerana tanpa perpaduan, sesebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri.

Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu,bermuhibah tanpa mengira kaum sertaa bersikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Melalui perpaduan akan dapat membantu negara kita mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik.

Rentetan beberapa peristiwa kebelakangan ini memberikan gambaran bahawa prinsip Rukun Negara seolah-olah sudah dilupakan serta tidak lagi relevan dalam konteks kehidupan hari ini. Tindakan seperti mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu; kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi; kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta protes dan demonstrasi jalanan memberi gambaran jelas bahawa prinsip seperti Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sudah tidak lagi diambil kira apabila pihak yang terbabit membuat percaturan.

Tidak ada pihak yang mampu menafikan bahawa Malaysia adalah antara negara
yang paling aman, makmur lagi sejahtera di dunia. Berdekad lamanya rakyat dari satu generasi ke satu generasi, dari kaum yang berbilang bangsa, hidup bersama tanpa timbul masalah besar.

Janganlah kita menggadai keamanan yang dikecapi hanya kerana perasaan iri
hati dan ketidakpuasan yang tidak dikongsi majoriti rakyat. Jangan kita lupa bahawa iklim kemakmuran dan keamanan negara yang selama ini dikecapi hanyalah mainan mimpi bagi sesetengah rakyat negara asing.

Negara kita juga tidak sunyi dengan isu disiplin pelajar sekolah atau remaja yang semakin merosot, sanjungan yang semakin longgar terhadap guru dan warga emas serta pengabaian terhadap kanak-kanak. Suasana ini memberi isyarat bahawa tahap kesopanan dan kesusilaan segelintir masyarakat semakin rapuh.


Oleh Tengku Puteh Tippi.